APA ITU PEDIH ULU HATI?
Pedih ulu hati ialah rasa panas dan pedih seperti terbakar (heart burn) yang biasanya dirasakan pada bahagian bawah tekak sehingga ke bahagian bawah tulang dada. Jika anda mengalami simptom seperti yang dinyatakan, anda mungkin mengalami sakit pedih ulu hati.
APAKAH PUNCA SAKIT PEDIH ULU HATI?
Masalah pedih ulu hati Ini berlaku bila asid dalam perut naik ke bahagian esofagus. Asid ini boleh naik hingga ke tekak atau mulut dan meninggalkan rasa masam dan pahit. Bagi wanita hamil, peningkatan hormon progesteron semasa hamil melonggarkan otot-otot lembut dalam uterus (rahim). Pakar percaya bahawa hormon ini melonggarkan injap yang mengasingkan esofagus daripada perut. Ini menyebabkan asid gastrik dapat melonjak naik ke atas melalui paip tersebut dan menyebabkan rasa terbakar.
SIAPA YANG BERISIKO MENGALAMI PEDIH ULU HATI?
- Individu yang skip waktu makan/ sedang berpuasa
Pedih ulu hati juga mungkin dialami oleh individu yang sedang berpuasa. Kebiasaannya, badan kita akan mengeluarkan jus untuk penghadaman (berasid) bila kita makan tetapi apabila kita berpuasa, otak kita dah salah faham. Sebaik sahaja kita terbayangkan makanan atau pun terbau makanan, badan secara automatik akan ingat “Oh! Makanan mesti dah sampai”. Jadi, badan akan hasilkan asid untuk persediaan pencernaan makanan. Sebab itulah, sakit pedih ulu hati dan gastrik juga salah satu punca yang akan tingkatkan risiko pedih ulu hati.
- Wanita Hamil
Kebiasaannya, wanita hamil lebih mudah mengalaminya. Bila kandungan semakin besar, saiz bayi yang makin besar akan tolak usus dan perut anda ke atas. Sebab itulah proses pembuangan jadi lebih lambat dan memaksa asid dalam perut naik ke dalam esofagus. Jangan risau, sakit pedih ulu hati di kalangan wanita hamil adalah perkara biasa dan tidak membahayakan ibu dan bayi tetapi ibu mungkin rasa kurang selesa dengan keadaan tersebut.
CARA UNTUK ELAKKAN MASALAH PEDIH ULU HATI
- Elakkan makanan dan minuman yang boleh membuatkannya bertambah teruk. Ini termasuklah makanan yangberlemak atau berempah, coklat, buah-buahan sitrus atau jusnya, alkohol dan kopi. Elakkan juga daripada minum semasa makan.
- Minuman bersusu boleh membantu melegakan pedih ulu hati. Jika susu penuh krim membuatkan simptom-simptom anda semakin buruk, bertukarlah kepada susu rendah lemak atau susu skim.
- Makan sedikit tetapi kerap. Ini dapat mengelakkan asid daripada terkumpul dalam perut anda kerana makanan akan meneutralkan asid perut.
- Jika anda merokok, cubalah berhenti. Merokok melonggarkan injap di antara perut dan esofagus dan membuatkan reflaks asid lebih berkemungkinan berlaku. Merokok juga membahayakan bayi dalam kandungan anda.
- Duduk atau berdiri tegak, terutamanya semasa dan sejurus selepas makan. Duduk dengan tegak dan jangan membongkok. Elakkan pakaian yang ketat di sekeliling perut dan jangan baring sekurang-kurangnya satu jam selepas makan.
- Jika pedih ulu hati lebih teruk pada waktu malam, cuba jangan makan apa-apa dalam tempoh tiga jam sebelum anda masuk tidur.
- Tidur dalam posisi separa duduk. Gunakan banyak bantal atau tinggikan kepala katil anda dengan menggunakan buku-buku atau papan. Graviti akan membantu mengekalkan asid perut di tempat yang sepatutnya dan membantu dalam pencernaan.
- Pastikan sebarang ubat-ubatan yang anda ambil untuk masalah lain tidak menyebabkan pedih ulu hati menjadi lebih teruk. Ini termasuk ubat anti kemurungan dan anti keradangan tanpa steroid.
No comments:
Post a Comment