Tuesday, April 1

Sukar Hamil??


Ada banyak faktor yang boleh menghalang kehamilan. Di kalangan psangan suami isteri yang subur, peratusan kejayaan hamil selepas percubaan pertama hanya sekitar 25%. Ini bermakna 75% pasangan perlu mencuba beberapa kali sebelum berjaya hamil. Ramai yang tertanya-tanya mengapa masih gagal hamil walaupun sudah beberapa kali mencuba tanpa jemu. Antara faktornya ialah:

 Usia wanita
 Ramai wanita mendirikan rumah tangga hanya selepas berjaya memperoleh kerjaya yang diinginkan. Akibatnya, usia sudah lanjut, sekali gus mengurangkan potensi untuk hamil. Sememangnya usia boleh mengurangkan kemampuan seseorang wanita itu untuk hamil. Setelah berusia 30 tahun, tahap kesuburan wanita semakin berkurangan dari setahun ke setahun.

 Kesihatan Pasangan
Seperti wanita, tahap kesuburan lelaki juga merosot apabila usia mereka semakin meningkat. Walau bagaimanapun, kemerosotan tersebut tidaklah secepat wanita. Biasanya tahap kesuburan lelaki mulai menurun selepas mencecah usia 40 tahun.

Gaya Hidup
Pelbagai faktor yang berkaitan dengan gaya hidup seseorang memberikan kesan terhadap keupayaan seseorang wanita untuk hamil. Antaranya ialah faktor pemakanan, senaman, tahap stres yang dialami, tabiat tidur dan macam-macam lagi. Anda mestilah benar-benar sihat untuk hamil..Hentikan tabiat merokok, jauhi minuman keras, amalkan diet seimbang setiap hari, tidur yang cukup dan senaman secara berkala.

Tekanan Yang Melampau
Tekanan perasaan yang melampau boleh menutup peluang untuk memiliki cahaya mata. Sama ada anda berusaha terlalu keras untuk mendapatkan anak atau terlalu komited dengan kerjaya, kedua-duanya boleh menyebabkan kesukaran untuk hamil. Semakin tertekan pasangan suami isteri itu, semakin sukar bagi mereka untuk mendapatkan anak.

Pengambilan Kafein
Jika gemar mengambil lebih daripada satu atau dua cawan kopi setiap hari, anda sebenarnya mengurangkan potensi diri untuk hamil. Kajian mendapati bahawa jumlah kafein yang ada di dalam tubuh boleh mengganggu kemampuan telur melekat dalam uterus.

 Pakaian
Pakaian lelaki terutamanya seluar dan seluar dalam yang ketat boleh mengurangkan penghasilan sperma berbanding dengan lelaki yang berpakaian longgar.

 Masalah Hormon
Sesetengah wanita tidak ada masalah untuk hamil, tetapi tubuh mereka tidak berupaya menghasilkan hormon progesteron yang mencukupi bagi mengekalkan kehamilan. Oleh itu sekiranya anda risau tentang kemungkinan adanya masalah hormon atau masalah fizikal yang menyukarkan kehamilan, segera jumpa doktor untuk rawatan lanjut. Jika masih gagal hamil setelah beberapa bulan mendirikan rumah tangga, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Kadangkala kesukaran hamil bukan disebabkan oleh masalah organ dalaman yang dihadapi oleh isteri atau suami. Mungkin tanpa disedari, tabiat dan gaya hidup selama ini yang menjadi punca anda sukar hamil.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...