Sunday, January 11

Tips Kesihatan

Makanan memberi kita tenaga dan zat-zat lain yang diperlukan untuk pertumbuhan, bergerak, bekerja, bermain, berfikir dan belajar. Tubuh memerlukan pelbagai jenis zat seperti karbohidrat, lemak, protein, vitamin, mineral dan serat dari makanan.

Tidak ada satu makanan pun yang dapat membekalkan kesemua zat yang diperlukan. Cara yang terbaik ialah memakan pelbagai jenis makanan. Makanlah sedikit daripada setiap kumpulan makanan.

Tidak ada makanan yang harus dipantangkan kecuali atas sebab-sebab perubatan. Pilihlah makanan harian daripada gabungan makanan berasaskan piramid makanan. Makanan yang berlainan membekalkan kombinasi tenaga (kalori) dan nutrien yang berbeza. Memakan pelbagai jenis makanan adalah cara yang terbaik untuk memenuhi keperluan tenaga dan nutrien anda seharian.

Kepelbagaian boleh dicapai dengan mengambil diet yang menggabungkan kesemua kumpulan makanan dalam piramid makanan. Di dalam setiap kumpulan makanan, pelbagaikan jenis makanan yang diambil.

Makanan yang diambil seharian sepatutnya dipilih lebih banyak daripada paras piramid yang paling bawah, manakala paling sedikit daripada puncak piramid. Ini membantu menjamin keseimbangan dalam pemakanan anda.

Kesederhanaan harus diutamakan untuk mengelakkan daripada memakan terlampau banyak dari sejenis kumpulan makanan. Panduan piramid makanan menyarankan jumlah (atau hidangan) yang boleh dimakan dari setiap kumpulan makanan setiap hari untuk individu yang normal dan sihat.


Terdapat enam kelas nutrien dalam makanan iaitu :

(i) karbohidrat;
(ii) lemak;
(iii) protein;
(iv) vitamin;
(v) mineral; dan
(vi) air.

Nutrien pula boleh dibahagikan kepada dua kelas yang utama berdasarkan elemen karbon di dalamnya. Bahan yang mengandungi karbon dikenali sebagai organik dan yang tiada karbon dipanggil tidak organik. Karbohidrat, lemak, protein dan vitamin adalah kumpulan organik, manakala mineral dan air adalah kumpulan tidak organik.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...