Orang kata kalau ibu yang menyusukan anak sepenuhnya, boleh merancang kehamilan secara semula jadi. Betulkah fakta tersebut?
Ya, memang benar tetapi dengan syarat penting yang mesti dipatuhi oleh ibu bagi membolehkan ia benar-benar berkesan. Kebanyakan ibu yang menyusukan bayi sepenuhnya dengan susu ibu tidak subur dan tidak mengalami haid untuk tempoh masa tertentu.
Maksudnya anda, selamat daripada kemungkinan untuk hamil bagi jangka masa tertentu. Bagaimanapun keberkesanan kaedah perancang kehamilan semula jadi ini hanyak berkesan sekiranya anda mengikut peraturan yang betul. Apakah syarat dan peraturannya?
Kajian yang dijalankan oleh pengkaji laktasi telah membangunkan kaedah perancang keluarga amenorea penyusuan yang digelar LAM. Pengkaji membuktikan keberkesanan LAM dalam menghalang kehamilan adalah 98 peratus lebih baik berbanding kaedah perancang kehamilan yang sedia ada.
Mengikut LAM, seorang ibu boleh bergantung kepada penyusuan sebagai satu kaedah perlindungan daripada mengandung apabila dia boleh memberikan jawapan ‘tidak’ bagi beberapa soalan berikut:
*Adakah kitaran haid anda sudah kembali?
*Adakah anda kerap menambah atau tidak menyusukan bayi dalam jangka masa panjang, sama ada pada waktu siang (lebih daripada tiga jam) atau pada waktu malam (lebih daripada enam jam)?
*Adakah bayi anda berusia lebih enam bulan?
Kajian menunjukkan kebanyakan ibu yang menyusukan secara eksklusif kekal tidak subur untuk tempoh masa lebih daripada enam bulan. Kesuburan dan haid hanya datang kembali apabila bayi semakin kurang menyusu dan hormon prolaktik menurun.
Tips Menggunakan Penyusuan Untuk Melambatkan Kesuburan
- Latih penyusuan tanpa had. Biasanya enam ke lapan kali penyusuan sehari akan mengurangkan kesuburan.
- Jangan biarkan anak anda tidur sepanjang malam tanpa bangun menyusu. Hormon menghasilkan susu yang mengurangkan tahap kesuburan lebih tinggi antara pukul 1 hingga 6 pagi. Penyusuan waktu malam sangat penting untuk mengurangkan kesuburan. Tidur bersama bayi anda memudahkan penyusuan waktu malam.
- Bayi hanya menghisap puting ibu sepenuhnya tanpa penggunaan botol atau puting kosong.
- Lewatkan pemberian makanan pejal sehingga bayi berusia enam bulan ke atas. Makanan pejal hanya sebagai nutrisi tambahan, bukan pengganti penyusuan.
Kunci utama penyusuan sebagai cara melambatkan kesuburan adalah kekerapan penyusuan kerana prolaktin mengalir lancar daripada darah. Penyusuan yang kerap sangat penting membantu prolaktin pada paras tinggi untuk mengurangkan kesuburan.
Jika ibu mengikut peraturan tersebut dengan betul, ibu dapat menikmati tempoh amenorea penyusuan (tiada kedatangan haid) sehingga 13 ke 16 bulan. Bagaimanapun ia hanyalah secara purata sahaja. Biasanya kebanyakan ibu akan mengalami kembali haid dalam tempoh masa enam bulan selepas bersalin.
Credit :Pa&Ma
No comments:
Post a Comment