Siapa tidak seronok bila setiap kali pam susu untuk dibuat stok, melimpah ruah hasilnya. Sekali pam dapat 6 auns, kalau sehari lima kali pam, cuba bayangkan betapa banyaknya stok susu untuk sehari yang ibu peroleh.
Biasanya jumlah 30 auns sehari yang diperoleh oleh ibu tidak habis diminum kesemuanya oleh bayi dalam sehari. Secara purata, bayi berusia dua hingga lima bulan hanya minum antara 15 hingga 20 auns sehari. Jadi secara logiknya susu yang selebihnya itu boleh disimpan sebagai stok susu perahan ibu (EBM) untuk kegunaan seterusnya.
Bagaimanapun ada sesetengah ibu yang teruja melihat hasil perahan yang banyak dan terus memberikan susu itu kepada bayi apabila dia ke tempat kerja mengakibatkan stok EBM semakin menimbun dan kadang kala hampir luput jangka hayat dan akhirnya perlu dibuang.
Alangkah ruginya masa dan tenaga untuk mengumpul stok susu ibu jika akhirnya ia perlu dibuang apatah lagi sekiranya ada masa kita menghadapi masalah susu merudum dan tidak dapat menghasilkan susu perahan yang banyak seperti biasa.
Sebelum itu, ibu perlu faham mengapa perlu buat stok EBM. Stok EBM adalah sebagai simpanan untuk pelbagai situasi yang tidak dijangka. Susu ibu boleh bertahan paling lama sehingga tempoh enam bulan sekiranya disimpan dalam peti sejuk dingin beku (deep freezer) dan hanya tahan sehingga empat bulan sekiranya disimpan dalam bahagian dingin beku peti sejuk dua pintu.
Oleh itu penting ibu mengetahui cara mengendalikan stok EBM dengan betul supaya jangka hayat susu berpanjangan dan sentiasa ada untuk stok susu di masa akan datang kerana ada ibu kemungkinan akan mengalami kekurangan susu apabila bayi mula makan makanan pejal, ibu datang haid dan sebagainya lagi.
Cara pengurusan susu ibu boleh menggunakan kaedah nisbah 1:4 atau 1:5 iaitu sekiranya kita membekalkan lima botol susu (3 auns setiap botol) setiap hari ke rumah pengasuh, maka satu daripada lima botol tersebut hendaklah menggunakan stok susu EBM.
Maknanya, empat botol adalah susu ibu yang baharu diperah dan satu botol susu EBM. Kemudian, lebihan hasil susu perahan yang diperoleh, hendaklah disimpan sebagai stok. Dengan itu, stok susu kita sentiasa berganti selepas diambil.
Ibu perlu menggunakan stok EBM dengan kaedah ‘first in, first out’ . Dengan cara ini susu ibu dalam peti sejuk dingin beku tidak akan tamat tempoh kerana kita telah menggerakkan stok tersebut.
CREDIT PA & MA
No comments:
Post a Comment