Monday, June 2

Protein Dalam Air Kencing




Tentu ibu hamil perasan tentang pentingnya pemeriksaan air kencing dalam setiap kali lawatan pemeriksaan antenatal di klinik. Tahukah anda tentang kepentingan pemeriksaan air kencing tersebut?
Doktor atau jururawat akan menggunakan kayu celup untuk mengesan protein dalam sampel air kencing ibu hamil. Kehadiran protein dalam air kencing memberikan maklumat penting tentang bagaimana buah pinggang ibu hamil berfungsi.
Kandungan protein yang rendah bermakna buah pinggang ibu sedang bekerja lebih keras daripada sebelum mengandung. Kemungkinan badan ibu hamil juga sedang melawan jangkitan kecil. Bagaimanapun doktor perlu menghantar sampel air kencing tersebut ke makmal bagi dianalisa untuk mengetahui sama ada kemungkinan ibu ada sebarang jangkitan pundi kencing atau tidak.
Sekiranya dalam pemeriksaan seterusnya, air kencing ibu masih ada protein dan kandungannya pula meningkat, ini menunjukkan kemungkinan ibu hamil sedang mengalami praeklampsia, iaitu sejenis komplikasi dalam kehamilan yang boleh menjejaskan ibu dan bayi dalam kandungan.
Pemeriksaan seterusnya akan cuba mengenal pasti sebarang tanda lain seperti peningkatan tekanan darah, kandungan protein yang semakin teruk dan berlaku pembengkakan pada kaki, tangan dan muka yang mana ia jelas membuktikan ibu mengalami praeklampsia.
Simptom-simptom lain yang mungkin boleh dialami oleh ibu hamil sebagai petunjuk dia mengalami praeklampsia adalah sakit kepala, masalah penglihatan kabur dan terdapat kilauan cahaya di hadapan mata, sakit yang teruk pada bahagian bawah rusuk dan muntah.
Jika mengalami simptom tersebut, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...