Masalah alahan seperti loya, mual dan muntah atau lebih dikenali sebagai morning sickness ketika hamil adalah perkara normal dalam kalangan ibu hamil. Namun, alahan keterlaluan boleh memudaratkan diri ibu dan kandungan.
Bagaimanapun, alahan yang dialami akan diklasifikasikan sebagai keterlaluan sekiranya ibu terlalu kerap muntah di mana ia berlaku tidak kira masa, urin mengandungi ketosis serta tiada selera makan sehingga berat badan menurun lima peratus daripada berat badan asal.
Masalah ini dikategorikan sebagai hyperemesis gravidarum. Antara simptom lain yang mungkin boleh menjadi petunjuk kepada masalah hyperemesis gravidarum termasuklah wajah kelihatan pucat, sakit kepala, pening, mudah letih, tidak bermaya serta kekurangan air.
Keadaan hyperemesis gravidarum menjadi lebih teruk apabila ibu tidak sedarkan diri, nadi semakin mengecil dan cepat, suhu meningkat dan tekanan darah menurun.
Hyperemesis gravidarum yang berterusan ketika hamil bukan hanya membahayakan ibu bahkan anak dalam kandungan. Ibu terdedah kepada beberapa risiko sekiranya tidak dirawat dengan segera.
Antara risiko kekurangan zat makanan yang ketara, kekurangan air dalam badan sehingga mengalami gangguan elektrolit dan kehilangan berat badan secara ketara. Tidak terkecuali masalah tekanan darah tinggi, hati dan buah pinggang.
Malah dalam keadaan yang lebih teruk, ada dalam kalangan penderita hypermesis gravidarummengalami pendarahan di tekak dan retina sehingga mengganggu fungsi asalnya. Hyperemesis gravidarum juga boleh membahayakan nyawa ibu akibat kekurangan thiamine lalu menyebabkan koma dan meninggal dunia.
Risiko yang dihadapi semakin meningkat sekiranya anda turut mengalami tekanan atau stres. Selain mengganggu aktiviti seharian, ibu yang tidak cukup khasiat pemakanan akan menyebabkan pertumbuhan bayi dalam kandungannya terencat, kelahiran pramatang. Bayi juga berkemungkinan meninggal dalam kandungan namun hal ini amat jarang berlaku.
Sekiranya disahkan mengalami hyperemesis gravidarum, kemasukan ke wad adalah mandatori! Ibu akan ditahan di wad untuk suatu tempoh tertentu bagi menjalani rawatan dehidrasi menggantikan bendalir dan zat pemakanan seperti karbohidrat dan protein dalam tubuh yang hilang. Sekiranya perlu, doktor akan memberikan vitamin B kompleks, vitamin C, kalsium dan keperluan-keperluan lain.
No comments:
Post a Comment