Antara tanda-tanda saat kelahiran semakin tiba adalah sakit kontraksi atau pengecutan otot rahim sebagai persediaan untuk pembukaan pintu serviks. Bagaimanapun kontraksi yang anda alami belum tentu merupakan tanda bayi akan terus lahir.
Ini kerana ada kemungkinan ibu hamil akan mengalami kontraksi palsu (false alarm) di akhir kehamilan. Kebanyakan wanita yang hamil untuk pertama kali pasti mengalami kekeliruan tentang bagaimana untuk mengenal pasti perbezaan antara kontraksi sebenar dan kontraksi palsu.
Jom kenali perbezaan keduanya agar anda lebih bersedia ketika berhadapan dengan sakit kontraksi tersebut.
Kontraksi Sebenar
*Rasa memulas disertai ngilu di bahagian pinggang sampai ke bawah.
*Sakit kontraksi muncul bila usia kehamilan sudah cukup bulan iaitu sekitar minggu ke-37 hingga 40.
*Kekerapannya bermula sekitar 30 – 60 saat dan pada fasa kelahiran semakin hampir, sakit paling aktif dirasakan iaitu sekitar 75 saat.
*Semakin lama sakit kontraksi semakin cepat iaitu setiap 5 – 10 minit sekali dan biasanya semakin kuat disertai sensasi ada sesuatu akan keluar dari vagina.
*Sakit kontraksi tidak akan hilang walaupun anda cuba mengubah posisi anda.
Apa yang mesti dilakukan?
Segera ke hospital sekiranya sakit kontraksi berlaku setiap lima minit. Apatah lagi sekiranya disertai dengan tanda seperti:
*Keluar lendir yang bercampur sedikit darah dari vagina.
*Kantung ketuban pecah diikuti keluar air ketuban.
*Ngilu di kawasan pinggul, kemudian menjalar ke pangkal paha dan perut bahagian bawah.
*Bahagian leher rahim (perut bahagian bawah) terasa panas dan sakit.
Kontraksi Palsu
*Rasa memulas tanpa ngilur, bermula dari bahagian atas rahim dan turun ke bawah.
*Rasa sakit ini boleh berlaku pada trimester kedua (20 minggu ke atas) dan pada usia kehamilan 37 – 40 minggu.
*Kontraksi berlaku kurang daripada 20 saat tetapi adakalanya boleh mencecah dua minit atau lebih.
*Biasanyaberlaku satu atau dua kali sehari dan tidak bertambah.
*Rasa sakit akan hilang sekiranya ibu mengubah posisi.
Apa yang mesti dilakukan?
*Ia adalah perkara normal yang tidak perlu dikhuatiri. Sekiranya anda berasa tidak selesa, segera bertenang, berbaring atau berjalan di sekitar rumah.
*Bila kontraksi semakin kuat dan berlaku selama beberapa jam atau hari, atau bila keluar darah/cairan lain dari vagina, segera berjumpa doktor. Dikhuatiri ia bukan kontraksi palsu teapi tanda kelahiran pramatang. Keadaan ini boleh berlaku kepada ibu hamil kembar.
credit : Pa & Ma
No comments:
Post a Comment