Orang kata wanita hamil mempunyai banyak perubahan bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga emosional. Kadang kala diri menjadi begitu sensitif tanpa disedari. Perkara remeh temeh juga boleh menyebabkan emosi ibu hamil terganggu. Cuba lihat beberapa perubahan yang sering dialami oleh ibu hamil. Mungkin ada salah satu yang terjadi pada anda sekarang.
*Cepat moody
Orang mengandung memang cepat berasa moody. Ada yang keterlaluan berubah menjadi sangat moody.  Ada yang mudah tersentuh hati hingga menangis jika terlihat atau mengalami hal remeh. Biasanya ia juga turut disedari oleh ibu hamil yang berasa hairan dengan perubahan diri sendiri.
*Mudah lupa
Penyakit mudah lupa juga kerap kali menyerang ibu hamil. Mudah lupa meletakkan barang, terlupa sesuatu perkara bahkan kadang kala yang lebih kronik, terlupa sedang bercakap tentang perkara A, tetapi membalasnya dengan perkara B. Masalah mudah lupa ini diakui oleh kebanyakan ibu hamil yang lain.
*Kuat makan
Jika trimester pertama, ada ibu hamil yang hilang selera makan namun biasanya sebaik memasuki trimester ke-2 dan ke-3, selera makan ibu semakin meningkat. Kadang kala ibu hamil terpengaruh dengan mitos ‘makan untuk dua orang’. Memang benar ibu hamil perlu menambah jumlah keperluan kalori yang meningkat tetapi bukan bermakna makan dalam kuantiti yang banyak.
*Malas ke tandas
Membuang air kecil dan besar ketika hamil memang sangat tidak selesa ketika kehamilan sudah di penghujungnya. Jika di awal kehamilan, ada bakal ibu yang berasa malas untuk mandi tetapi di akhir kehamilan, kekerapan untuk membuang air kecil selain keadaan fizikal yang semakin membesar membuatkan rasa malas tersebut semakin menjadi-jadi. Adakah anda juga merasa begitu?