Kalau di layar perak, watak adi wira atau 'superhero' memang sinonim digalas oleh kaum Adam. Dengan kekuatan fizikal yang dikurniakan oleh Allah SWT, sememangnya lelaki layak bergelar hero. Kalau dalam rumahtangga juga, lelaki sebagai suami dan ayah juga dianggap hero oleh isteri dan anak-anak. Namun, demikian jangan pandang sebelah mata dengan wanita yang bergelar isteri dan ibu. Silap haribulan bila-bila masa boleh kalahkan si adi wira.
 
Wanita yang dicipta sebagai makhluk yang lemah lembut oleh Allah SWT ini sebenarnya juga dicipta punya kekuatan luar biasa. Mungkin dari segi fizikal, wanita kelihatan lemah dan tidak kuat tetapi hakikatnya mental dan emosi seorang wanita amat mengagumkan. Paling tak boleh dilawan oleh orang lelaki iaitu wanita boleh membuat pelbagai kerja dalam satu masa. Justeru tak salah kalau wanita apatah lagi yang bergelar ibu juga sebenarnya layak digelar 'superwoman'. Berikut antara sebab kenapa wanita layak digelar 'Superwoman'.
 
1. Mampu menahan sakit kontraksi hendak bersalin tetapi dalam masa yang sama masih sempat lagi mengemas rumah sebelum pergi ke hospital.
 
 
2. Seorang Ibu boleh mendukung anak yang menangis dan dalam masa yang sama memasak di dapur sambil menjawab panggilan telefon.
 
 
3. Walaupun demam, batuk dan pening kepala, isteri tetap boleh menguruskan keperluan suami dan anak-anak seperti menyediakan sarapan pagi, menggosok pakaian dan sebagainya.
 
 
4. Isteri boleh semak kerja sekolah anak sambil menyusukan bayi dan dalam masa yang sama berbual dengan suami sementara mata sempat melirik di kaca televisyen menonton slot drama Akasia.
 
 
5. Bila diberitahu ada tetamu hendak datang ke rumah, wanita boleh menjadi seperti lipas kudung mengemas rumah yang berselerak macam tongkang pecah menjadi sekemas seperti rumah contoh untuk jualan dalam masa tak sampai sejam!
 
 
6. Jangan terkejut kalau isteri anda cakap hendak beli ikan dan sayur di pasaraya sebab bila keluar macam-macam barangan yang dibelinya. Alang-alang ada dalam pasaraya, dia terus memikirkan menu hari seterusnya dan siap-siap beli bahan yang diperlukan.Tak nak rugi masa pergi banyak kali katanya.
 
 
7. Kalau hendak balik kampung atau pergi bercuti, isteri boleh 'packing' semua barang keperluan si suami dan anak-anak tanpa tertinggal satu pun.
 
 
8. Kalau para suami nak tahu kenapa beg tangan isteri berat dan besar, cubalah seluk tangan dalam beg tersebut. Anda akan jumpa macam-macam barangan antaranya mainan anak, makanan anak, tisu basah, lampin, botol susu, kunci rumah, beg duit, baju anak, ketip kuku, sikat rambut, pin dan macam-macam lagi. Jadi janganlah 'bebelkan' isteri kalau beg tangannya berat sangat!
 
 
9. Bagi orang perempuan rugi masa dan tenaga kalau hanya satu kerja sahaja dilakukan di rumah. Oleh itu jangan terkejut kalau isteri anda boleh memasak di dapur, membasuh pinggan mangkuk, mencuci pakaian sambil menyuap si kecil makan. Memang 'superb'!
 
 
10.Ini lagi mengagumkan para suami, isteri juga boleh bersolek menggunakan pelbagai peralatan solekan yang perlu disapu ke muka sambil melilit tudung dengan pelbagai gaya dan dalam masa yang sama menukar lampin bayi sebelum keluar bekerja. Salute habislah!