Rata-rata ibu mesti mengaku pernah sekurang-kurangnya sekali memarahi anaknya. Kalau boleh sebenarnya semua ibu tidak mahu marahkan anak tetapi kadang kala bila sudah hilang kesabaran ibu ‘termarah’ juga si anak.
Bagaimana agaknya hendak mengelakkan daripada asyik marahkan anak? Ini kerana anak-anak yang sering dimarah akan menjadi keliru dengan ibu bapa mereka. Bayangkan kanak-kanak berusia tiga tahun yang kerap dimarahi oleh orang yang paling rapat dengannya tidak dapat mengagak bila dia akan disayangi dan bila akan dimarahi.
Tanpa disedari mereka membesar sebagai individu yang keliru, suka memberontak dan menyalahkan dirinya sendiri. Reaksi pertama mereka apabila dimarah adalah merajuk. Sekiranya anak asyik dimarahi sepanjang masa, jangan terperanjat jika mereka membesar sebagai anak yang tidak yakin dengan diri sendiri, tidak berani mencuba perkara yang baru dan sentiasa keliru apakah dirinya disayangi oleh ibu dan ayah atau tidak.
Bukan bermakna kita tidak boleh marahkan anak. Anak perlu ditegur dan dimarahi atas kesalahan yang mereka lakukan dan bukan kerana kita sedang penat, tertekan dan sebagainya yang tiada kaitan dengan diri anak itu.
Sekiranya kita mendisiplinkan anak semasa diri sedang marah, kita akan menjadi lebih beremosi atau lagi teruk cenderung menyakitkan anak-anak seperti memukul dan sebagainya. Jadi, cuba kawal diri supaya tidak marahkan anak atas perkara yang tidak sepatutnya. Beberapa perkara tersebut boleh dicuba oleh anda:
  1. Tarik nafas dan bertenang
Anda yang mengawal diri sendiri. Sekiranya dalam keadaan tertekan atau penat, anda cenderung mudah marah. Ingatkan diri sendiri supaya tidak melepaskan kemarahan kepada anak terutama sekiranya mereka sedang bermain dan menyepahkan rumah, banyak bertanya kepada anda, meminta itu dan ini. Bertenang dan bersabar serta Tanya pada diri sendiri “Apa salah anak saya sampai perlu memarahinya?”
  1. Keluar dari zon marah
Anda sedang marah? Cuba keluarkan diri anda daripada zon marah. Misalnya, jauhkan diri daripada anak-anak sekejap dengan masuk ke dalam bilik seketika atau jika sedang duduk cuba bangun dan pergi ke dapur. Bagi yang muslim, segera beristighfar atau mengambil wuduk. Setelah kembali tenang, barulah kembali melayan anak-anak.
  1. Sertai kumpulan sokongan
Kadang kala kita perlu bergaul dengan komuniti yang sama pengalaman dengan kita. Kini ada banyak komuniti atau forum di media sosial yang berkongsi pelbagai tip dan panduan berguna menjadi ibu bapa yang cemerlang. Tak salah anda menyertai mereka untuk sama-sama bertukar fikiran dan pengalaman.


kredit : Pa&Ma