Kenapa bayi akan terus berhenti menangis apabila didukung oleh ibu tetapi sebaliknya meraung makin kuat apabila ayah cuba memujuk? Mungkin tidak semua bayi sedemikian tetapi kebanyakannya akan berkelakuan begitu.
Hubungan antara ibu dengan bayi sememangnya cukup rapat sampaikan adakalanya sukar untuk ibu bergerak apabila bayi hendak 'melekat' sahaja. Ayah pun boleh juga punya hubungan rapat dengan bayi. Tetapi ada caranya. Baik praktiskan supaya si kecil pun tahu ayah tidak kurang hebat menguruskan keperluan mereka.
1. Mandikan bayi
Tak semestinya setiap hari ayah perlu mandikan bayi, tetapi sekali-sekala luangkan masa memandikan bayi. Dengan bermain sambil memeluk dan mengusap badannya ketika menyapu sabun pada badan bayi, anda dapat membuatkan hubungan jadi rapat.
2. Dukung
Kerap mendukung bayi juga boleh menjadi kaedah merapatkan hubungan ayah dan bayi. Biarkan bayi mendengar degup jantung ayah serta mencium bau badan anda. Nikmati saat manis ini sambil membelai dan mencium lembut rambut bayi anda. Secara tidak langsung bayi tahu ayah juga menyayanginya seperti ibu.
3. Menepuk bahu
Ketika waktu anak makan, duduklah di sampingnya sambil bergurau senda. Sesekali tepuk bahunya agar dia mudah bersendawa dan berasa lega. Hubungan mata antara bayi dengan ayah membantu mengeratkan hubungan rapat anda berdua.
4. Memberi susu
Walaupun bayi anda menyusu susu ibu sepenuhnya tetapi tidak salah sesekali ayah memberikan bayi susu menggunakan botol. Inilah waktunya untuk ayah menghabiskan masa bersama sambil berbual dengan bayi.
5. Menidurkan bayi
Biarpun ayah keletihan seharian bekerja di pejabat, cari masa untuk menidurkan bayi. Jadikan ia satu kebiasaan yang akan dilakukan setiap malam. Dengan cara ini bayi tahu, ada orang lain yang turut menyayanginya selain daripada ibu.
kredit : Pa & Ma
No comments:
Post a Comment