Bagi yang baharu pertama kali bergelar ibu, tentu agak kekok hendak mengendalikan pemotongan kuku bayi yang sangat kecil dan comel. Bimbang pula jikat tersalah potong boleh melukakan jari dan kulitnya yang halus dan lembut. 
 
Semasa melakukan penjagaan kebersihan bayi, beberapa panduan perlu diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang kecederaan. Papa dan Mama perlu berhati-hati mengendalikan si comel yang masih lembut ini.
 
Kuku bayi baharu lahir memang cepat panjang, sebab itu perlu sentiasa memakaikannya sarung tangan. Selain itu anda juga perlu kerap memotong kuku tangannya yang cepat panjang kerana dia mudah mencakar dan melukakan mukanya sendiri.
 
Sebelum memotong kuku bayi, ikut panduan berikut
 
1. Sentuh jari bayi
 
Sebelum memotong kuku bayi, sentuhlah jari jemarinya untuk memberi rasa selesa dan mood yang baik.
 
 
2. Waktu yang sesuai
 
Bagi memudahkan memotong kuku, potong kuku bayi selepas memandikannya. Ketika ini kuku bayi masih lembut dan ia memudahkan untuk anda memotongnya dengan selamat.
 
 
3. Cara memotong
 
Mulakan memotong kuku pada tangan kanan dahulu. Ketika memotong kuku, pegang tangan bayi, arahkan jemari tangannya ke depan untuk mengelak daripada terkena alat pemotong. Tahan perlahan-lahan buku jarinya agar kuku mengarah ke atas. Kemudian lakukan  perkara yang sama pada tangan kiri. Kuku bahagian kaki juga mesti dipotong. Lakukan perkara  yang sama pada kaki kanan dan kiri.
 
 
4. Gunting khas
 
Gunakan gunting pemotong kuku bayi yang tajam, hujung bundar dan selesa. Jangan memotong menggunakan gunting terlalu dekat kerana ia mengundang bahaya sehingga boleh mengakibatkan luka terjadi. Jangan menggunakan pemotong kuku orang dewasa untuk mengelakkan berlaku kecederaan pada kuku bayi.
 
 
5. Basuh atau lap tangan dan kaki
 
Setelah selesai memotong kuku tangan dan kaki, basuh dengan air atau lap menggunakan air bersih. Ia bertujuan membersihkan kekotoran yang melekat pada hujung kuku tangan dan kaki.
 
 
6. Kekerapan memotong
 
Sekurang-kurangnya potong seminggu sekali jika kukunya kelihata agak panjang dan potong kuku kaki sekurang-kurangnya dua kali sebulan. 



kredit : Pa & Ma