Friday, October 17

MERRY GO ROUND Dalam Kepala




SEMASA kecil, berpusing dan berpusing sehingga terasa pening mungkin satu keseronokan bagi kanak-kanak.

Bagaimanapun, tatkala anda bangkit dari tidur dan merasakan seluruh bilik berputar seperti gasing walaupun badan anda tidak bergerak, ia bukanlah satu pengalaman yang menyeronokkan sama sekali.
Tekanan darah yang turun mendadak atau tubuh mengalami dehidrasi atau kekontangan juga boleh menyebabkan seseorang berasa pening kepala.

Tidak kurang juga yang terasa pening-pening lalat apabila bangun terlalu cepat daripada posisi duduk atau baring.

Perkataan pening diguna bagi menggambarkan dari rasa hendak pitam atau pening-pening lalat ke rasa lemah atau terhuyung-hayang. Pening yang berlaku seolah-olah keadaan sekeliling anda berpusing atau bergerak – dalam istilah perubatannya, dipanggil vertigo.

Pening berbeza dengan sakit kepala sebagaimana yang sering disalahertikan oleh kebanyakan orang. Akibatnya, penyakit sebenar gagal dikesan dan boleh membahayakan pesakit.

‘‘Sakit kepala boleh diterjemahkan sebagai rasa sakit seperti berdenyut-denyut pada bahagian kepala manakala pening adalah sensasi tidak stabil, rasa melayang dan terhuyung-hayang secara tiba-tiba hingga membawa perasaan seakan-akan persekitaran berputar dan pandangan berpinar-pinar.
‘‘Anda mungkin merasakan seolah-olah anda sedang menaiki merry-go-round atau kepala anda sedang berpusing-pusing di dalam,’’ kata Pakar Runding Perubatan, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Petaling Jaya, Selangor, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari.

Menurutnya, pening sama ada boleh berlaku sebagai pening biasa ataupun vertigo. Benign Paroxysmal Positional Vertigo (BPPV) merupakan kategori vertigo yang paling kerap ditemui.
Keadaan itu dicirikan dengan episod singkat pening melampau yang dikaitkan dengan perubahan dalam kedudukan kepala (menukar arah kepala) seseorang. Ia boleh berlarutan selama beberapa minggu dan bulan.

‘‘Vertigo berlaku apabila anda menggerakkan kepala ke arah tertentu seperti menoleh ke kanan, kiri, mendongakkan kepala dan semasa hendak bangun, duduk atau baring. Beralih kedudukan semasa di atas katil juga boleh membawa kepada episod BPPV.

‘‘Ia selalunya berpunca daripada masalah saraf dan struktur mekanisme keseimbangan di dalam telinga dalaman yang menangkap pergerakan dan perubahan dalam kedudukan kepala anda,’’ ujar beliau.
Mengulas lanjut, penyakit ini bermula apabila berlaku gangguan pada radas vestibulum di telinga yang menyebabkan seseorang itu mempunyai perasaan atau bayangan seperti berlakunya sesuatu pergerakan pada dirinya atau benda lain di sekitarnya sehingga ia terhuyung-hayang dan pening.
Simptom-simptom

Pening, rasa seperti persekitaran anda berpusing atau sedang bergerak (vertigo), pening-pening lalat, terhuyung-hayang, hilang keseimbangan, penglihatan kabur dengan pergerakan kepala yang cepat, loya dan muntah merupakan tanda-tanda lumrah BPPV.

Ia boleh datang dan pergi, dengan episod yang selalunya berlaku kurang seminit. Episod BPPV mungkin hilang dalam masa beberapa lama sebelum kembali berulang.
Aktiviti yang mendatangkan tanda dan simptom BPPV boleh berubahubah dari seseorang individu dengan yang lain, tetapi lazimnya ia disebabkan oleh perubahan kedudukan kepala anda.
Pergerakan mata yang deras dan tak sengaja yang mungkin dari sisi, naik turun atau putaran (nistagmus) biasanya diiringi dengan BPPV. Walaupun ia jarang berlaku tetapi adalah mustahil untuk mendapat BPPV di kedua-dua belah telinga (BPPV bilateral).



Punca, faktor risiko


  • Organ yang menjaga keseimbangan yang terletak di dalam telinga dalaman anda dinamakan labirin atau selirat vestibular.
  • Turut termasuk di dalamnya adalah struktur berbentuk cecincin (kanal/saluran separa bulat) yang mengandungi cecair dan penderia seperti rerambut halus yang memantau putaran kepala anda.
  • Kesemua kanal ini bercantum dengan utrikel iaitu struktur berupa beg halus yang terkandung di dalamnya, butiran halus atau kristal karbonat kalsium (otokonia).
  • Partikel-partikel ini melekat pada penderia yang membantu mengesan graviti dan pergerakan ke hadapan dan belakang.
  • BPPV berlaku apabila partikel-partikel di dalam labirin menjadi longgar dan terapung-apung di dalam cecair.
  • Dalam kedudukan tertentu, ia boleh merengsakan hujung-hujung saraf yang berhubung dengan keseimbangan lantas memberikan isyarat pergerakan palsu, menyebabkan sensai berputar.
  • BPPV mempunyai kaitan yang rapat dengan proses penuaan. Ia juga boleh berlaku selepas kepala mengalami hentakan atau kecederaan.
  • Dalam kes-kes yang lebih jarang berlaku, punca BPPV termasuklah jangkitan virus pada telinga atau gabungan trauma telinga semasa pembedahan serta kedudukan terlentang yang lama ketika surgeri berlangsung.
  • Strok ringan atau berat, juga boleh mendedahkan seseorang kepada vertigo selain pesakit yang diserang epilepsi/sawan turut berpotensi.

Bila perlu berjumpa doktor

Dr. Abdul Malik berkata, terdapat beberapa tanda yang perlu diberikan perhatian oleh orang ramai bagi mengesan BPPV di peringkat awal lagi.
‘‘
Pertama, sekiranya anda rasa penglihatan anda wujud dua bayangan pada satu-satu imej yang dilihat. Imej yang berbayang atau kabur ini akan disusuli dengan rasa pening dan sakit kepala.
‘‘
Jika ia berlarutan selama beberapa hari, anda perlulah mengambil langkah untuk berjumpa doktor bagi mengesan masalah kesihatan yang dialami,’’ jelasnya.

Dapatkan nasihat doktor jika anda mengalami pening teruk yang berulang dan sukar untuk dijelaskan. Walaupun pening selalunya tidak menandakan penyakit yang serius, segeralah mendapatkan nasihat profesional perubatan jika anda mengalami pening atau vertigo bersama-sama keadaan berikut:

- Sakit kepala yang teruk dan lain dari yang lain
- Penglihatan menjadi kabur atau hilang daya penglihatan
- Hilang pendengaran
- Pertuturan merosot
- Lemah kaki dan tangan
- Tidak sedarkan diri
- Jatuh atau sukar berjalan
- Kaku atau menggelenyar
- Sakit dada atau kadar degupan jantung deras atau perlahan.

Tanda-tanda ini mungkin menjadi isyarat kepada masalah yang lebih serius seperti strok, tumor otak, penyakit Parkinson, sklerosis multipel atau penyakit kardiovaskular (berkaitan jantung).


Diagnosis

Beberapa ujian seperti ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) otak dan imbasan atau skan tomografi berkomputer (CT Scan) akan dilakukan untuk mengesan vertigo.
Ujian audiometri juga dijalankan untuk melihat kefungsian sistem pendengaran dan ujian elektroensefalogram (EEG) pula diguna untuk menentukan kefungsian otak seseorang.


Komplikasi

Walaupun BPPV tidak menyelesakan, namun ia jarang menimbulkan komplikasi. Jika keadaannya teruk, BPPV yang berterusan boleh menyebabkan seseorang kerap mengalami muntah dan merisikokan pesakit kepada dehidrasi di mana tubuh kehilangan banyak air.

Rawatan

‘‘Terdapat beberapa cara untuk mengubati penyakit ini termasuklah melalui ubat-ubatan seperti betasere, stemetil dan stugeron.

‘‘Doktor juga mungkin akan memberikan rawatan melalui beberapa siri manuver (pergerakan) yang dikenali sebagai Prosedur Menempatkan Semula Canalith bagi melegakan BPPV,’’ terangnya.
Dilakukan di klinik doktor, prosedur berkenaan terdiri daripada beberapa manuver ringkas untuk meletakkan kepala dalam kedudukan yang betul.

Matlamatnya adalah untuk menggerakkan partikel-partikel daripada kanal separa bulat berisi cecair (labirin vestibular) untuk memasuki struktur seperti beg halus (utrikel), di mana partikel-partikel ini tidak akan membuat kacau.

Setiap kedudukan dipegang dan tahan selama 30 saat. Kadar kejayaannya mencecah 90 hingga 95 peratus.

Selepas prosedur, anda perlulah mengelak daripada baring terlentang selama 24 ke 48 jam dan tinggikan kepala di atas beberapa bantal semasa tidur.
Ini memberikan masa kepada partikel-partikel tadi untuk terapung-apung di dalam labirin sebelum mendap di dalam utrikel ataupun diserap semula oleh cecair-cecair tubuh.

Anda mungkin perlu memakai kolar leher bagi mengelakkan kepala senget. Prosedur mungkin perlu diulang beberapa kali.

Doktor juga akan menunjuk ajar beberapa senaman terapi sebagai panduan untuk anda lakukannya di rumah.


Pembedahan

Seandainya canalith kurang berkesan bagi anda, doktor akan menyarankan prosedur pembedahan di mana penyumbat tulang akan digunakan untuk menghalang bahagian daripada telinga dalaman yang menyebabkan pening.

Penyumbat tersebut bertindak menyekat partikel-partikel yang terapung di dalam saluran telinga anda daripada bergerak.

Penjagaan sendiri

Jika anda mengalami pening yang berkaitan dengan BPPV, anda boleh menimbangkan tip-tip ini:

- Berhati-hati dengan kemungkinan hilang keseimbangan badan yang boleh menyebabkan anda jatuh dan mengalami kecederaan serius
- Duduk atau baring dengan segera apabila terasa pening
- Elakkan tidur pada sebelah telinga yang terjejas
- Bangkit dari tidur secara perlahan-lahan. Duduk sekejap di birai katil
- Elakkan daripada membongkok untuk mengambil sesuatu. Jangan tarik kepala ke belakang seperti semasa anda mengambil sesuatu daripada kabinet atas
- Gunakan dua atau lebih bantal pada waktu malam bagi mengelakkan baring terlentang yang terlalu rata
- Gunakan lampu yang terang jika anda bangun di tengah malam
- Gunakan tongkat untuk kestabilan.

Manuver Hallpike untuk mengesan BPPV


  • Pesakit akan didudukkan di atas katil dan kemudiannya dibaringkan di hujung katil dengan bahu pesakit terkeluar sedikit dari katil.
  • Ahli perubatan akan menurunkan kepala pesakit sebanyak 30 darjah ke bawah dan kepala dialihkan ke kanan atau ke kiri selama beberapa saat.
  • Jika seseorang itu mengalami BPPV, pergerakan anak mata pesakit akan menjadi tidak menentu dan pesakit mula mengalami pening.

Ujian ini bukan sahaja penting untuk mengetahui keadaan pening pesakit malah mengesahkan keadaan BPPV yang menyerang pesakit.


Makanan Pemicu Vertigo



  • Makanan masin
Garam yang banyak dalam makanan yang dimasukkan kedalam hidangan sup sayur-sayuran, makanan beku, kentang goreng,keropok, sos tomato,daging sejuk, daging dan keju dalam tin bole mengganggu keseimbangan cecair dalam sistem keseimbangan tubuh
  • Gula berlebihan
Gula yang berlebihan ditambah dalam makanan yang dijual secara komersial dan minuman seperti minuman ringan berkarbonat,gula-gula,coklat susu,jeli dan jem yang disapukan ke roti,kek dan roti yang ditambah gula di atasnya juga bole menyebabkan rasa pening buat sesetengah individu
  • Makanan yang mencetuskan migrain
Bagi individu yang sedia mengalami migrain,mereka sangat sensitif terhadap makan tertentu. Mereka dinasihatkan agar mencacatkan jenis makanan yang mencetuska akit kepala dan pening,kerana setiap individu alah dengan makanan berbeza.
  • Kafein dan Alkohol
Individu yang sensitif terhadap kafein akan merasa sakit kepala dan pening.Kafein diketahui menyebabkan kita banyak kehilangan banyak air ,secara tidak langsung menganubah keseimbangan cecair dalam organ pengimbang dalam telinga. Minuman beralkohol pula secara langsung memberikan kesan negatif dan menyebabkan pening

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...